"KESYUMULAN ISLAM MENJADI
PENGEKALAN KEMERDEKAAN NEGARA"
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan ke hadrat Allah s.w.t dengan melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya sebagaimana firman Allah dalam surah al-hujurat ayat 13:
"Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya)".
Berdasarkan ayat ini, orang yang bertakwa menurut Doktor Wahbatuz Zuhaili dalam kitabnya tafsir munir ialah orang yang beriltizam dan berterusan menunaikan segala suruhan Allah s.w.t dan dalam masa yang sama menjauhi apa sahaja yang ditegah oleh Allah s.w.t. Oleh itu,hendaklah kita berniat berjuang untuk menjadi orang yang bertakwa melalui kekuatan akidah,ilmu yang bermanfaat,amalan soleh seperti menunaikan solat fardhu,membayar zakat dan segala perkara wajib dan sunat yang lain,disamping menjauhi segala akhlak buruk seperti perbuatan syirik,berjudi,berzina dan pelbagai dosa besar yang seumpamanya.
Bersempena dengan bulan dan hari kemerdekaan negara kita,marilah kita semua bermahasabah diri dengan segala perancangan dan usaha kita yang lalu dan akan datang bagi menjamin dan mampu mengekalkan kemerdekaan yang kita kecapi sekarang.
Alhamdulillah,kita diberikan pelbagai kenikmatan dunia dengan rezeki yang melimpah-ruah dan kesenangan hidup yang masih berterusan walaupun kos sara hidup yang meningkat.Kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t atas kurniaan kemajuan dan keamanan yang dianugerahkan oleh allah kepada kita,walaupun ada negara lain sedang dalam keadaan huru-hara,masih mundur dan ada yang musnah dilanda malapetaka besar.Kita beruntung dan bernasib baik pada ketika ini,kerana kita dapat bekerja dengan selesa,bersekolah dengan baik,hidup berkeluarga dengan penuh bahagia dan penuh kasih sayang serta bermasyarakat dengan harmoni walaupun saudara seagama kita dinegara jiran diseksa,dirogol dan dibunuh.
Marilah kita berfikir dan membayangkan sejenak jika negara kita dilanda peperangan seperti diarak,ditimpa kebuluran sebagaimana di Darfur dan diancam kemusnahan alam sepertimana berlaku di Myanmar ,Amerika dan China. Sudah tentu tiada lafaz yang mulia untuk diucapkan melainkan alhamdulillah,segala puji bagi Allah diatas nikmat kemerdekaan,keamanan dan kemajuan yang kita perolehi dan nikmati bersama hari ini. Namun sejauh manakah kita mampu mempertahankan kemerdekaan,keamanan dan kemajuan.
Saban hari kita mendengar,melihat,membaca dan membicarakan pelbagai gejala,masalah dan kesan sosial umat islam yang amat berleluasa dan semakin parah.Gejala ketamaan harta dan perebutan kuasa,pergaulan bebas lelaki perempuan yang membawa perzinaan serta tabiat buruk dalam soal makan minum harian yang berlebihan telah menimbulkan banyak masalah masyarakat dan kehidupan. Masalah-masalah tersebut ialah perpecahan ummat,penipuan,penyelewengan,rasuah,bilangan anak luar nikah bertambah,kadar perceraian yang semakin tinggi dan penyakit berjangkit yang menakutkan sehingga kos perubatan semakin bertambah berganda-ganda.
Akibat peningkatan masalah sosial,jenayah dan penyakit yang membimbangkan ini telah meramaikan pesalah-pesalah jenayah dan menimbulkan kesesakkan di penjara. Manakala hospital pula mengalami kebanjiran pesakit yang tidak terkawal lagi. Sampai bila kah keadaan ini akan berterusan dan bila kah kadar jenayah akan menurun?. Apakah suasana begini dapat mengekalkan kemerdekaan,keamanan dan kemajuan sekarang atau sebaliknya iaitu berlaku penjajahan semula,huru-hara dan kemusnahan negara?
Allah telah mengingatkan kita tentang ketakutan dan kelaparan dalam negeri sendiri,akibat masalah sosial dan jenayah yang semakin buruk,walaupun negeri aman dan merdeka sebagaimana firmanNya lagi dalam surah an-nahl ayat 112:
"Allah memberikan satu perumpamaan :Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram,yang didatangi rezeki yang mewah dari serata pelusuk,kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat allah itu,maka allah merasakannya kelaparan dan ketakutan (yang meliputi keseluruhannya) disebabkan apa yang mereka telah lakukan".
Demikianlah ketentuan dan keadilan Allah s.w.t dalam bentuk balasan dan peringatan kepada kita supaya ini semua dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan dengan keadaan persekitaran masyarakat sekeliling kita.
Namun begitu, Allah tetap Maha Pengasih, Maha Pemurah dan Maha Pengampun kepada hamba dengan mengurniakan kesyumulan islam bagi menyelamatkan keadaan dan seterusnya mengekalkan kemerdekaan. Keamanan dan kemajuan sedia ada. Ini kerana islam yang syumul sebagaimana dijelaskan oleh Profesor Saleh Ahmad dalam bukunya:
"Pengantar syariat islam" bermaksud satu peraturan kehidupan yang menyeluruh dan lengkap mencakupi hal akidah,akhlak dan hukum fekah yang berkaitan dengan hubungan manusia sesama manusia dan makhluk lain. Oleh itu,kita diperintahkan merancang dan melaksanakan aktiviti kehidupan harian berpandukan islam sebagaimana ditegaskan oleh firman Allah s.w.t melalui firmanNya dalam surah al-Jasiah ayat 18:
"Kemudian,Kami jadikan engkau (wahai muhammad) berada atas satu syariat (yang lengkap) daripada hukum-hakam agama.Maka,itulah syariat itu,dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)".
Sehubungan dengan ini, faktor utama keimanan yang teguh kepada Allah s.w.t dan hari pembalasan dihari akhirat adalah faktor yang menjamin kesejahteraan dan keharmonian hidup,yang seterusnya dapat mengekalkan kemerdekaan negara sepertimana jaminan Allah s.w.t dalam surah al-A'raf ayat 96:
"Dan (Allah berfirman lagi):sekiranya penduduk negeri mereka (pintu rezeki) yang melimpah-ruah keberkatan,dari langit dan bumi, Tetapi mereka mendustakan (rasul kami),lalu kami timpakan mereka dengan azab disebabkan apa yang mereka telah usahakan".
Berdasarkan kekuatan wahyu allah ini yang menggambarkan kesyumulan islam itu sendiri,kemerdekaan negara kita mampu bertahan dan dipelihara oleh allah s.w.t dari penjajahan semula,huru-hara dan kemusnahan jika kita semua berilmu,beramal soleh,dan berakhlak mulia serta bersatu.Jika kita sendiri kurang yakin kepada Allah,jahil al-Quran,mengabaikan solat dan berakhlak buruk serta mementingkan kemewahan diri sendiri,maka sudah tentu dengan mudah Allah menarik balik nikmat kesejahteraan dan kemerdekaan ini disebabkan kita kufur nikmat kepada Allah s.w.t.
Bagaimana pun, Allah akan mengekalkan nikmat kemerdekaan ini dan mengalihkan azab kemusnahan kemerdekaan dengan dua syarat iaitu memakmurkan masjid dan beristigfar sebagaimana termaktub dalam hadis qudsi:
"Berkata Anas r.a bahawasanya nabi s.a.w telah bersabda, Allah s.w.t telah berfirman yang maksudnya:
"Sesungguhnya aku hampir-hampir akan menimpakan seksa keatas penghuni bumi,kemudian aku melihat kepada mereka yang memakmurkan rumah-rumahku (masjid-masjidku),dan juga kepada yang beristigfar diwaktu fajar,maka aku pun mengalihkan siksaku daripada mereka itu". (Riwayat Baihaqi)
Alhamdulillah,negara kita sekarang merdeka,aman dan maju. Oleh itu, marilah kita memeliharanya bersama dengan mengamalkan ajaran islam seluruhnya dengan berterusan,bersungguh-sungguh dan penuh rasa tanggungjawab.
"Dan (ingatlah) ketika nabi ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku!,jadikanlah (Negeri Mekah) ini sebagai suatu negeri yang aman sentosa,dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya,iaitu orang yang beriman kepada allah dan hari akhirat dikalangan mereka".Allah berfirman:" (permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka aku akan beri juga dia bersenang-lenang menikmati rezeki itu sedikit sahaja atau sementara sahaja (didunia),kemudian aku memaksanya (dengan menyeritanya) keazaban neraka, dan(itulah) seburuk-buruk tempat kembali".
Ya-Allah,engkaulah Tuhan yang Maha Berkuasa,kami bersyukur kehadratMu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat islam khususnya negeri selangor,sebagai negeri yang maju,sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadratMu ya-Allah,tetapkanlah iman kami,tingkatkanlah amal kami,kukuhkanlah perpaduan kami,murahkankah rezeki kami,kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,suburkanlah jiwa kami dengan budipekerti yang mulia,kembalikanlah generasi muda kami kejalan yang engkau redhai,lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar,kemarau panjang,wabak penyakit,persengketaan,kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian,negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Artikel dipetik dari laman web JAIS e-khutbah
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perayaan kemerdekaan ke-51
bolehlah layari laman web ini: http://www.malaysiamerdeka.gov.my

No comments:
Post a Comment